The Government of Brunei Darussalam
            


BIT Council

Press Release

SESI TAKLIMAT KESELAMATAN BAGI PENGGUNA-PENGGUNA PERAIRAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Kementerian Perhubungan dan Jabatan Laut telah mengadakan satu sesi taklimat mengenai 'Keselamatan bagi Pengguna-Pengguan Perairan Negara Brunei Darussalam' pada hari Selasa, 21 Oktober 2008 bertempat di Bilik Al-Mahabbah, Bangunan Kementerian Perhubungan, Jalan Menteri Besar, Bandar Seri Begawan. Taklimat berkenaan telah diadakan berikutan kejadian kemalangan bot laju penumpang di perairan Temburong pada 19 Oktober 2008. Tujuan utama taklimat tersebut adalah untuk memastikan penguatkuasaan Peraturan dan Undang-undang yang sedia ada serta perbincangan mengenai isu-isu keselamatan pengangkutan laut.

Sesi taklimat tersebut dipengerusikan oleh Yang Mulia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan; dan dihadiri oleh Pemangku Pengarah Laut, Awang Haji Omar bin Haji Sirat, wakil-wakil Pasukan Polis Diraja Brunei, pegawai-pegawai kanan Kementerian Perhubungan dan Jabatan Laut serta para pengusaha-pengusaha serta pengemudi-pengemudi kapal dan bot yang aktif di negara ini. Pemangku Setiausaha Tetap menekankan beberapa perkara penting yang berhubungan khusus dengan keselamatan bagi perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan laut dan perairan Negara Brunei Darussalam, antaralainnya menyentuh:

  1. kerjasama padu daripada pihak-pihak yang tertentu khususnya bagi pengusaha-pengusaha serta pengemudi-pengemudi kapal dan bot dalam memahami, menghayati dan mematuhi Peraturan-Peraturan yang ada;

  2. Penekanan keatas peningkatan dalam pemantauan dan penguatkuasaan daripada pihak Jabatan Laut dan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan; dan

  3. Penekanan dalam pembacaan doa sebelum bertolak, penggunaan jaket keselamatan dan mematuhi bilangan ramai para penumpang dan lain-lain keperluan keselamatan.

Antara perkara-perkara penting yang digariskan dalam taklimat berkenaan adalah Peraturan-Peraturan Perkapalan Pedagang (Kapal Pelabuhan dan Pelisiran) 1986 yang memperuntukan mengenai pengendalian perkhidmatan perkapalan di negara ini serta perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh setiap pemilik lesen kapal dan bot di negara ini.

Taklimat berkenaan juga bertujuan untuk memperingatkan para pengusaha-pengusaha serta pengemudi-pengemudi kapal dan bot supaya sentiasa menitik beratkan aspek-aspek keselamatan bukan sahaja dari segi operasi bahkan terhadap keselamatan para penumpang. Kementerian Perhubungan melalui Jabatan Laut selaku agensi utama yang memantau perkhidmatan pengangkutan laut di negara ini amat mengambil perhatian berat keatas mana-mana pengendalian perkhidmatan laut dan senantiasa memastikan para pengusaha-pengusaha kapal dan bot mematuhi Peraturan-Peraturan yang telah digariskan dan diluluskan oleh Jabatan Laut. Jabatan Laut juga menekankan bahawa mana-mana pihak yang tidak mematuhi sebarang Peraturan dan syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan tersebut maka tindakan yang sewajarnya akan dikenakan.

Dikeluarkan oleh:
Kementerian Perhubungan
21 Oktober 2008


|| History Vision & Mission | Roles & Responsibility | Organisational Structure | Departments
| Strategic Plan Framework | Regional & International Meetings | H R D | Speeches | Feedback | Contacts ||
|| BIT Council | AiTi | BICTA ||

|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||