Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Hindari memasuki zon keselamatan pelantar minyak untuk menangkap ikan

KUALA BELAIT, Selasa, 1 November. - Agensi-agensi keselamatan maritim Negara Brunei Darussalam mengingatkan orang awam khususnya nelayan-nelayan tempatan untuk tidak sekali-kali memasuki zon keselamatan pelantar minyak untuk menangkap ikan.

Pelaut-pelaut juga diingatkan supaya tidak memasuki atau berlabuh di kawasan zon-zon keselamatan pelantar minyak dalam lingkungan 500 meter dari binaan-binaan dan pemasangan di kawasan perairan Negara Brunei Darussalam bagi mengelakkan daripada kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Demikian antara yang ditekankan pada Jerayawara Kesedaran Awam Berkaitan Keselamatan Maritim yang berlangsung di Dewan Persidangan Kuala Belait hari ini.

Jerayawara yang merupakan usahasama Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Laut, Jabatan Pengangkutan Darat dan Syarikat Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai isu-isu keselamatan maritim dan dihasratkan sebagai wadah interaksi dan komunikasi antara agensi-agensi keselamatan maritim bersama pihak-pihak berkepentingan di sektor swasta dan masyarakat nelayan di Negara Brunei Darussalam.

11116_NORAISAH3_JERAYAWARA.jpg

TAKLIMAT disampaikan oleh wakil-wakil daripada Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Laut, Jabatan Pengangkutan Darat dan Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn. Bhd.

Hadir selaku tetamu kehormat pada jerayawara tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Haris bin Othman.

Turut hadir pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan nelayan-nelayan sepenuh masa dan sambilan di Daerah Belait.

Pemangku Pegawai Jurutera Laut, Bahagian Penguatkuasa, Haji Yusoff bin Haji Metusin menerangkan mengenai peraturan serta akta bagi pemilik perahu-perahu yang terbiar.

Pemilik bertanggungjawab penuh terhadap perahu-perahu mereka yang lama terbiar kerana dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya pencemaran dan kebakaran yang boleh mengakibatkan keselamatan nelayan-nelayan yang mencari rezeki di sekitar perairan Brunei.

Bagi pihak Jabatan Laut dan mewakili agensi-agensi yang lain, beliau menyeru kepada pemilik perahu-perahu untuk mendaftar perahu mereka dan melengkapi dengan alat-alat keselamatan termasuk memakai 'life jacket' ketika berada di lautan.

hj yusof.jpg

PEMANGKU Pegawai Jurutera Laut, Bahagian Penguatkuasa, Haji Yusoff bin Haji Metusin semasa ditemubual oleh Pelita Brunei.

Nelayan juga dilarang memasuki zon-zon larangan sejauh 500 meter seperti di kawasan larangan kerana kawasan tersebut berbahaya bagi keselamatan nelayan dan juga orang awam jika menghampiri tempat-tempat berkenaan.

Perintah Perkapalan Pedagang (Zon Keselamatan) 1988 dan Pindaan 2013 memperuntukkan hukuman bagi BND100,000 dan kapal boleh ditahan oleh pihak berkuasa.

Bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang awam terutama sekali para nelayan, pengguna perahu-perahu kecil dinasihatkan supaya akan sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah-langkah keselamatan seperti menyediakan jaket keselamatan dan lampu picit sebelum turun ke laut.

Nelayan-nelayan juga diseru untuk memastikan penggunaan treler mengikut garis panduan yang disediakan bagi menjaga keselamatan pengguna-pengguna jalan raya yang lain.

Jerayawara itu juga telah dihadiri oleh penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai di jabatan kerajaan, pengusaha dan perusahaan menangkap ikan, pelaut dan nelayan di Daerah Belait.

Sumber berita Pelita Brunei

Attachments