Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah Dan Ratib Al-Attas Sempena Memperingati Mangsa-Mangsa Kemalangan Lalulintas Jalan Raya Bagi Tahun 2018

Bandar Seri Begawan, 08 Jamadilawal 1439H bersamaan 25 Januari 2018M -  Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam (MKKJR) petang ini mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Ratib Al-Attas sempena Memperingati Mangsa-Mangsa Kemalangan Lalulintas Jalan Raya bagi Tahun 2018.  Acara yang diadakan di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampong Serusop dikelolakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Perhubungan selaku Urusetia Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat, Menteri Perhubungan selaku Penasihat Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam.

Hadir sama, Awang Haji Azhar bin Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan selaku Pengerusi MKKJR;  Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mohd Jammy bin Haji Mohd Shah Al-Islam, Pesuruhjaya Polis selaku Timbalan Pengerusi I MKKJR; Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat selaku Timbalan Pengerusi II MKKJR.  Turut hadir, Dr. Haji Supry Bin Haji Ag. Ladi, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Ketua-Ketua Jabatan serta Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Perhubungan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya serta Ahli-Ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya. Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran penuntut-penuntut dan guru-guru dari Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakillah Hayatul Bolkiah, Serusop.

Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Membaca Ratib Al-Attas Sempena Memperingati Mangsa-Mangsa Kemalangan Lalulintas Jalan Raya adalah Kali Pertama dikendalikan bagi tahun 2018.  Tujuan utama acara ini diadakan adalah bagi sama-sama mohon doa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala supaya Negara Brunei Darussalam terutama pengguna-pengguna jalan raya sentiasa diberikan perlindungan dan meningkatkan keselamatan jalan raya.  Majlis seumpama juga adalah bagi menyahut seruan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas, Pasukan Polis Diraja Brunei, sebanyak 2,864 kes kemalangan jalanraya direkodkan sepanjang tahun 2017 yang melibatkan 29 kes kematian dan 529 kes cedera ringan dan parah.

Dalam kesempatan ini, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan ketika berada di jalan raya dengan sentiasa mengamalkan sikap pemanduan yang berhati-hati, berdisiplin, dan bertimbang rasa serta mematuhi undang-undang dan peraturan lalulintas jalan raya demi menjaga keselamatan bersama dan mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

 

Disediakan oleh:

Unit Keselamatan Jalan Raya

Jabatan Pengangkutan Darat

Kementerian Perhubungan

Attachments